Saturday, December 17, 2011

Persoalan hutang piutang daripada Ustaz Fairuz


Sahabat, ini ada sedikit penerangan, mudah-mudahan dapat memberi sedikit pencerahan.
Hutang merupakan suatu isu yang amat lazim berlaku dalam kehidupan insan. Akhir zaman ini, hampir tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari bebanan hutang. Ketika belajar lagi sudah dibebani pinjaman hutang seperti PTPTN. Bila dah bekerja, terpaksa pula membeli kereta. Untung kalau dapat beli secara tunai. Bagi yang tak mampu, pembiayaan peribadi menjadi solusinya. Apa lagi nak beli rumah, jaranglah orang beli dengan duit simpanan. Itulah signifikannya hutang dalam hidup kita ini.
 
Mungkin kerana itu jugalah Allah S.W.T turut menyebut persoalan hutang dalam Al-Quran. Lebih takjub lagi adalah, ayat tentang hutang ini adalah ayat terpanjang dalam Al-Quran yakni dalam surah al-Baqarah. Ayat itu secara umumnya menerangkan adab-adab dan peraturan berhutang, antaranya merekodkan transaksi hutang. Maha Suci Allah yang mengetahui keadaan hambaNya.
 
Dalam berhutang, pasti ada dua sisi, yakni yang memberi hutang, dan berhutang. Nabi S.A.W. memuji orang yang suka membantu saudaranya seperti dalam sabdanya:

"Orang yang melepaskan seorang muslim dari kesulitannya di dunia, Allah akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat; dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama ia (suka) menolong saudaranya" (riwayat Muslim)

Ulama’ menyebutkan bahawa antara cara membantu seperti dimaksudkan hadis di atas adalah memberi pinjam atau hutang kepada saudaranya atau sahabatnya. Justeru di suatu sudut, Islam memuji individu yang sanggup membantu saudaranya dengan memberi bantuan secara hutang. Ini kerana Islam bukan agama yang memberatkan, Islam mengetahui sifat fitrah manusia. Bukan semua manusia itu dapat memberi bantuan mutlak kepada saudaranya seperti memberi sejumlah wang kepada individu lain, tanpa mengharapkan bayaran balik. Ihsan seperti itu memang terpuji, tetapi Allah lebih mengetahui keadaan hambaNya yang lemah. Justeru Islam mengharuskan Qardhul Hasan, yakni pinjaman (tanpa untung atau faedah), malahan Islam memuji orang yang sanggup membantu saudaranya walaupun secara berhutang!
 
Di suatu sudut yang lain, Islam juga sebenanya tidak menggalakkan umatnya berhutang. Ini difahami dari riwayat hidup Nabi S.A.W dan sunnah baginda sendiri. Antaranya suatu riwayat dalam Sahih Bukhari

Dari Aisyah r.a., ia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dalam solat, dan dibacanya: "Ya Tuhan! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari berbuat salah dan berhutang." Ada orang yang bertanya kepada beliau: Kenapakah engkau amat banyak minta perlindungan daripada berhutang? Beliau menjawab: "Orang yang berhutang bila berkata berdusta, bila berjanji tidak menepatinya. "


Dala suatu hadis lain dalam Sahih Bukhari:


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seandainya saya mempunyai emas sebesar bukit Uhud, saya tidak akan merasa senang kalau emas itu masih ada pada saya selama tiga hari, selain dari apa yang dipersiapkan untuk membayar hutang."

Ada beberapa pengajaran yang boleh didapati daripada hadis-hadis di atas,
Pertama: Islam mengharuskan hutang. Nabi S.A.W sendiri semasa hayatnya terlibat dalam urusan hutang. Ini seperti Nabi terangkan di mana Nabi akan menyegerakan bayaran hutang apabila memperolehi pendapatan. Dalam riawayat lain, Nabi pernah berhutang dengan Yahudi, malahan memajakkan baju besinya. Ini menjadi dalil hutang yang muktamad.

Kedua: Nabi S.A.W mengajar kita agar seboleh-bolehnya mengelak dari hutang yang tidak perlu. Kerana itulah Nabi mengajar kita dengan doa tersebut, apa lagi menjelaskan akibat buruk berhutang. Orang yang berhutang itu mungkin akan memungkiri janji dan mengelakkan dari membayar hutangnya. Walaupun Nabi pernah berhutang, namun perkara hutang adalah perkara yang amat Nabi jauhi seperti difahami dari hadis.
(Tetapi hadis yang mengatakan jangan berhutang kecuali terdesak itu, tidak pula dijumpai dalam mana-mana kitab Hadis. Wallahu A’lam)
Ketiga: Nabi S.A.W mengajarkan kita tentang adab berhutang yang sebenar. Antaranya, apabila kita memperolehi rezeki atau gaji atau apa-apa keuntungan, selayaknya diketepikan dahulu wang untuk membayar hutang. Ini kerana dalam pendapatan yang kita perolehi, mungkin ada hak orang lain yang lebih memerlukan dalam wang tersebut, iaitu wang sedekah untuk fakir miskin, zakat, dan hak si pemiutang. Ini difahami daripada hadis kedua di atas.

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini adalah boleh berhutang tetapi perlulah mematuhi peraturan berhutang. Antaranya menyelesaikan hak si pemiutang dengan memulangkan wang dipinjam apabila sampai tempoh atau cukup rezeki untuk membayarnya. Ini sekali lagi terletak pada kekuatan Iman seseorang. Apabila seseorang Mukmin berhutang, dia akan cuba melangsaikannya dengan segera, kerana Imannya membuat dia sentiasa waspada dan takut kepada balasan Allah sekiranya melambatkan pembayaran hutang apalagi takut sekiranya mati tanpa dapat menyelesaikan hutang. Lebih-lebih lagi, Mukmin sejati takkan berdusta dan menzalimi orang lain. Seorang Mukmin takkan sewenagnya-wenangnya berhutang kecuali jika ada keperluan mendesak.
Namun, suatu persoalan? Apakah keperluan mendesak itu? Ini mungkin berbeza buat individu. Ada antara kita terpaksa berhutang kerana ingin sambung belajar. Ini tak dapat dielak. Dunia moden memerlukan pendidikan yang berkualiti. Namun kos pendidikan juga tinggi. Bukankah jika PTPTN itu haram, maka tertutuplah peluang anak muda untuk belajar dan mengubah hidup mereka. Ini mungkin suatu desakan.
Bagaimana pula dengan keperluan memiliki kenderaan ke tempat kerja? Seseorang itu memerlukan kenderaan yang baik bagi memudahkan untuk mencari rezeki. Bahkan selain ke tempat kerja, kenderaan juga diperlukan untuk membawa keluarga ke sana ke mari. Mungkin terjadi situasi di mana seorang ibu hendak melahirkan anak di tengah malam, tetapi suami tiada kereta untuk membawa isteri ke hospital. Bukankah ini memudaratkan dan suatu keperluan yang mendesak?
 
Bagaimana pula jika seseorang itu hendak memulakan perniagaan? Nabi menggalakkan perniagaan kerana ia punca rezeki yang terbesar, apalagi dalam Negara kita yang sukar untuk mencari perkerjaan ini, perniagaan merupakan usaha terbaik meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga. Tetapi, dalam dunia moden ini, bagaimana nak berniaga tanpa modal? Salah satu jalan mendapatkan modal adalah pembiayaan dari bank. Bukankah ini satu keperluan mendesak juga?

Samalah halnya dengan anda wahai akhi. Ia terpulang kepada diri individu tersebut. Hanya individu tersebut yang boleh menilai sama ada ia keperluan yang mendesak, mendadak, atau keperluan yang boleh ditangguhkan. Sekiranya perniagaan yang nak dimulakan oleh ibu akhi itu mempunyai peluang yang baik, maka bantulah ibu. Ini selaras dengan hadis mengenai membantu kesulitan saudara, walaupun dengan cara kita berhutang dan membantu ibu dengan wang pinjaman tersebut. Ia tiada masalah.

Harta adalah apa yang bermanfaat dan boleh dimiliki. Inilah definisi mal atau harta dalam Islam. Harta itu perlu dicari dengan cara yang halal. Meminjam wang untuk memulakan perniagaan telah diharuskan oleh ulama’ kontemporari. Ini kerana perniagaan itu juga suatu usaha untuk mendapatkan rezeki dan membayar semula pinjaman atau modal tersebut.

Begitu juga halnya dengan persoalan kedua iaitu melaburkan wang hasil dari pinjaman tersebut. Ini juga diharuskan. Ini kerana apabila kita telah memperolehi wang tersebut, ia telah menjadi harta kita dan kita berhak membelanjakannya selayaknya. Apalagi, jika ada niat untuk melangsaikan hutang tersebut dengan lebih cepat, hasil dari keuntungan perniaagaan ataupun pelaburan, pasti Allah permudahkan. Ini ada suatu Hadis Nabi yang amat menarik”

Sesiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dan berkeinginan untuk membayarnya, Allah akan (membantu dia) membayarnya dan sesiapa yang mengambil dan ingin membinasakannya (tidak berhajat untuk membayar balik), Allah akan (membantu dia) untuk membinasakannya
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2387 (Kitab fi al-Istiqradh…, Bab sesiapa mengambil harta orang …).

Semoga Allah memberkati kamu dalam urusan keluarga kamu dan harta kamu.
Sesungguhnya balasan dari pinjaman tidak lain adalah pujian dan pembayaran
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa‘i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa‘i, hadis no: 4697 (Kitab al-Buyu’, Bab pinjaman).

Sebagai seorang anak, kita wajib berusaha membantu ibu bapa, selagi tidak memudaratkan. Bantulah ibu dengan cara membuat pembiaayaan peribadi itu, jika ini dapat memberikan modal yang baik untuk perniaagaan ibu.
Untuk pelaburan, melaburlah dalam skim yang dihalalkan dan jauhilah yang haram mahupun yang meragukan atau syubhah. InsyaAllah, Allah akan membantumu.

Daripada Ustaz elfyruz@yahoo.com