Tahun baru, penuh dengan azam baru.
Mungkin azam yang paling banyak pada tahun baru ini adalah untuk melepasi daripada masalah kewangan – Optimakan perbelanjaan, meMotong perbelanjaan atau menCari sumber pendapatan baru.
Azam tidak akan bertahan lama jika tidak dengan 'Mula'. Malahan, ia akan menjadi pekAzam atau pekasam dalam Bahasa Melayu plain.
Jika anda pernah mencuba melakukan azam pada tahun-tahun sebelumnya dan gagal anda bukanlah keseorangan. Saya dan beberapa bilion umat manusia juga begitu. Apa kata tahun ini kita cuba benda baru, pupuk tabiat baru atau bahasa omputihnya habit.
Tabiat berkekalan dalam jangka masa yang panjang dan sukar untuk diubah. Mungkin itu menyebabkan berapa banyak orang yang sukar untuk meninggalkan tabiat merokok kerana ia seolah-olah melekat dalam neuron-neuron mereka. Jika tidak dapat boleh mengigil.
Tabiat boleh disinonimkan dengan ketagihan. Sebab apa? Sebab ketagihan akan menyebabkan seseorang itu merasa suatu kehilangan jika tidak mendapatnya seperti dadah. Tetapi jika tabiat itu baik seperti membaca buku, bekerja atau bersenam, ia akan menularkan kesan ketagihan yang baik pada diri seseorang itu.
Selepas 25 tahun hidup, apabila memasuki era pekerjaan barulah saya terhantuk dan terngadah. Segala apa yang saya belajar daripada tadika sampailah ke peringkat universiti tiada satu tabiat kewangan pun yang saya pelajari melainkan menabung. Jadi semasa dapat gaji; bagi emak sikit, bagi adik-adik sikit, buat belanja rumah, bayar duit kereta, yang lebih...belanja sampai habis, kalau nasib baik sempat sampai gaji bulan depan, kalau tak...makan Maggi la jawabnya.
Pupuk tabiat kewangan samada anda 18, 25 atau 60 tahun ke atas
Perkara yang menarik tentang kewangan ialah kebanyakkan orang sanggup membelanjakan banyak wang untuk menyertai skim-skim cepat kaya namun hanya sedikit sahaja yang terbuka hati mereka untuk membaca dan memupuk tabiat kewangan. Mereka lebih percaya dengan janji-janji manis ejen skim cepat kaya dengan pulangan tetap pelaburan 30-120%. Tidak perlu buat apa, duduk rumah sahaja. Percayalah tak lama lagi mereka akan kerugian.
Itu semuanya sampah...
Pertama-tama, di dunia ini tiada pelaburan yang PASTI memberi pulangan tetap! Ibarat orang berniaga di pasar pagi, mana ada hari yang tidak hujan. Kedua, pelaburan yang paling berguna adalah yang pelaburan diri sendiri seperti beli,baca dan fahami buku-buku kewangan. Ketiga, jika kita memupuk tabiat kewangan yang baik tidak mustahil kita akan jadi seorang JUTAWAN seperti Azizi Ali.
Anda patut fikirkan jangka masa panjang, jangan ingat hendak cepat sahaja. Silap-silap yang cepat tu yang buat lingkup.
Memupuk tabiat memerlukan masa. Saya cadangkan satu tabiat pada sesuatu masa dan beri masa satu bulan untuk tabiat ditanam dalam minda dan badan anda. Hal ini diakui payah kerana saya pernah mencubanya tetapi ia tidak mustahil. Jangan biarkan tabiat ini menyeksa anda, biar ia jadi keseronokan bila melakukan tabiat ini. Jika anda terseksa, tukar tabiat yang lain serta merta.
Jadi tanamkan ayat ini dalam kepala anda, “buat kerja seronok, semua benda jadi.”
Tapi Tabiat Kewangan yang Mana?
Jadi anda baru hendak bermula … tabiat kewangan yang mana anda harus pilih? Membuat tabungan dalam bank, melabur dalam Unit Trust atau?
Tabiat kewangan yang paling saya sukai adalah membuat bajet setiap bulan tetapi jika anda sudah melakukannya anda boleh memilih untuk melakukan pelaburan dalam unit-unit amanah.
Kebenarannya, tabiat kewangan yang anda pilih sebagai permulaan tidak menjadi hal dalam jangka masa panjang. Anda boleh pilih mana-mana tabiat kewangan yang anda suka untuk mulakan dahulu. Kata kuncinya adalah MULA.
Berikut adalah beberapa tabiat kewangan yang saya cadangkan, jika anda masih belum punyai ide:
• Semak belanja anda untuk 5 minit sehari, pada waktu malam. Anda boleh catatkan ia ke dalam buku 3x5, dalam komputer atau conteng pada meja anda(kalau anda ni malas sangat la).
• Buat bajet dengan peratus mudah; 60%=Perbelanjaan, 30%=pelaburan, 10%= Sedekah atau hadiah. Jika gaji anda RM 2,000 peratus mudahnya ialah perbelanjaan = Rm 1 200, pelaburan = Rm 600, sedekah atau hadiah = Rm 200. Ubah peratus itu ikut kemampuan dan selera anda.
• Baca sedikit mengenai pelaburan di Bank Islam Online; http://www.bankislam.com.my/en/Pages/AboutUnitTrust.aspx?tabs=5&mlink=UnitTrust, Pilih antara 3, samada Dana Al-Fakhim, Dana Al-Munsif dan Dana Al-Falah. Apa yang anda perhatikan ialah jenis, jangka masa, baca Penafian(disclaimer). Jika anda Yakin dan faham apa yang dibaca terus laburkan duit anda untuk gaji seterusnya. Kerana pada survey saya Bank Islam menawarkan pelaburan yang paling rendah iaitu Rm10 sahaja. Perlu diingat pelaburan ini ada untung dan ada yang rugi, untuk mengurangkan risiko megurangkan kerugian sila laburkan dalam saham yang berbentuk dividen seperti ASB yang ada pulangan setiap tahun.
• Catat apa yang anda belanjakan untuk makan seperti kudap-kudapan, makan di Restoran Thailand . Pada bulan depan cuba sedia makanan yang lebih mudah disediakan di rumah.
• Buat satu blogspot untuk tawarkan perkhidmatan yang anda tahu di samping berkongsi dengan orang lain.
• Tawarkan barang yang anda tidak gunakan lagi dalam Mudah.com, eBay, Jomniaga atau rajalelong.com
• Sentiasa memberi wang kepada orang yang memerlukan; masjid, rumah anak-anak yatim, rumah orang tua-tua dan sebagainya.
• Jangan tambahkan hutang anda seperti Kad Kredit dan pinjaman peribadi yang tidak perlu.
Saya merasakan kewangan ini mudah: Anda mesti belanja kurang daripada apa yang anda dapat(gaji). Jika belanja(B) melebihi jumlah Gaji(G), samada anda perlu mencari pendapatan sampingan atau menyemak semula perbelanjaan anda, adakah yang terlebih-lebih?
Membentuk Tabiat Kewangan Sihat
Ini adalah beberapa prinsip saya dalam membentuk tabiat kewangan.
1. Cabaran 30 hari. Pernah lihat iklan di internet khususnya perisian komputer; “Cuba produk kami selama 30 hari secara PERCUMA! ” Kenapa 30 hari diberi percuma? Kerana selepas sesuatu tabiat kita lakukan dalam masa 30 hari, kita jadi terbiasa dengan produk tersebut dan kita kemungkinan akan membeli produk trial tersebut. Begitu juga tabiat kewangan. Pilih daripada tabiat-tabiat yang saya cadangkan di atas atau anda boleh reka sendiri.
2. Lakukan satu tabiat dalam sesuatu masa. Ingat terburu-buru dan gopoh gapah itu salah satu daripada sifat syaitan. Bertenang-tenang itu sifat malaikat dan orang yang menang. Jangan cuba tabiat baru semua sekaligus, anda kemungkinan akan gagal. Tabiat baik kebiasaannya sukar untuk kita bentuk, sebaliknya dengan tabiat buruk (Mungkin ini ada kena mengena dengan janji Iblis yang akan menyesatkan semua manusia sehingga hari kiamat. Kebarangkalian anda untuk berjaya adalah tinggi jika memupuk satu tabiat pada sesuatu masa.
3. Jadikan ia prioriti tinggi. Kebanyakkan dari kita membiarkan kewangan berlaku secara otomatis dan tanpa perancangan lalu berharap semuanya akan berjalan lancar. Alasan yang kerap kedengaran “terlalu sibuk, terlalu bosan, letihlah...”. Dalam pengalaman saya ia tidak memenatkan pun cuma beberapa minit sahaja dalam sebulan. Jika tiada masa, cari atau curi masa.
4. Seronok dengan Tabiat baru. Ingat ayat saya di atas “buat kerja seronok, semua benda jadi.” Ini hampir benar bagi semua perkara. Termasuklah kerja. Kerja jika seronok, hati pun rasa tak macam kerja. Barulah pagi Isnin bila jam loceng..RIIIINGGG....anda akan terus melompat daripada katil anda dan berkata, “Kerja hari ni, yess...” Jadi cari tabiat kewangan yang mudah-mudah biar anda seronok-seronok dengannya jadi matlamat anda menjadi lebih senang. Jadikan kewangan itu keseronokan bukan pengorbanan.
Cadangan Terakhir
Ramai yang berazam setiap tahun tapi ramai juga yang kecundang dalam melaksanakannya. Apa kata kita cuba cara lain pula. Pupuk atau bentuk tabiat baru. Apatah lagi jika tabiat itu adalah tabiat kewangan yang baik. Lakukan tabiat tanpa memikirkan sangat kesan tabiat ini tapi yang penting ialah anda seronok melakukannya.
Jadi nikmati keseronokan dalam perubahan tabiat dan hasilnya nanti tak berapa penting. Destinasinya cuma perkara yang kecil, dibandingkan dengan kita seronok dalam perjalanan. Namun langkah yang paling penting sekali adalah perMULAaan. 85% masalah sudah selesai jika anda berMULA. Oleh yang demikian, Mulakan perjalanan seribu batu anda itu dengan langkah pertama dan berseronoklah.
Cadangan rujukan untuk tabiat kewangan yang baik:
1. Kemana wang anda? Penulis: Hajah Rohani; merupakan seorang perunding kewangan yang berpengalaman. Mempunyai syarikat sendiri. Banyak tips-tips berguna dikumpulkan dalam satu buku. Saya jamin jika anda baca satu buku ini saja sudah mencukupi untuk mengetahui selok belok kewangan. Bahan bacaan yang santai dan mudah difahami. Mesti@wajib beli dan baca.
2. Lahirnya seorang jutawan, Ganda wang anda dan semua buku-bukunya. Penulis: Azizi Ali merupakan pembimbing kewangan tersohor di Malaysia. Telah menulis 30 buku mengenai subjek kewangan.
ShimG is the founder of BebasHutang(tentang kewangan), ChentaBuku(bukan cinta muka buku) and a regular Guest Blogger at Melayubuntu blog;ZulMalc. Designer wanabe and Manchester Utd fan. Sila emel kepada hashimwinger11@gmail.com untuk bertukar pendapat, ia bisa diatur.
No comments:
Post a Comment